Monday, September 28, 2009

PERANAN KOMUNITI TERHADAP KANAK-KANAK

RATU
Kerangka peranan, pembabitan anggota masyarakat lebih jelas

KANAK-KANAK adalah antara kumpulan dalam masyarakat yang dianggap paling lemah, tidak mempunyai kuasa dan mempunyai keupayaan sedikit untuk mendapat maklumat, sokongan serta bantuan apabila mereka memerlukan semua itu. Justeru, pembentukan Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara jelas memperlihatkan kewujudan kanak-kanak bukanlah kelompok biasa yang tidak dipedulikan, sebaliknya sentiasa diberikan perhatian paling utama oleh kerajaan. Pengarah Kajian Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din, berkata dengan adanya kedua-dua dasar berkenaan ia akan memberikan impak kesedaran lebih tinggi kepada masyarakat di negara ini untuk menjaga keselamatan serta memastikan kesejahteraan kehidupan seorang kanak-kanak.
Mohamed Fadzil berkata, walaupun undang-undang sudah ada untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak di negara ini, dengan adanya kerangka yang lebih jelas mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan dan penyertaan kanak-kanak ia akan mempercepatkan lagi ke arah perkembangan serta kesejahteraan lebih baik. Katanya, selain itu apa yang ditetapkan dalam dasar itu dapat dicapai mengikut jangkaan tertentu seperti yang disasarkan. “Dasar yang ada secara automatik memperlihatkan inti pati yang cukup jelas dan dengan itu semua pihak terbabit ada tanggung jawab masing-masing yang perlu dilaksanakan. Contohnya, ibu bapa sekurang-kurangnya tahun apa yang dibuat untuk meningkatkan potensi perkembangan anak mereka. Begitu juga dengan institusi dan agensi yang lain, perlu laksanakan apa yang dipertanggungjawabkan ke atas mereka,” katanya.
Mohamed Fadzil turut menjangkakan dasar yang diwujudkan dapat diterapkan dengan cepat dalam diri masyarakat di negara dan tidak nampak ia satu masalah besar untuk memenuhi serta mengamalkan apa yang sudah ditetapkan. Sementara, Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Wilayah Persekutuan, Norizan Muda turut menyokong penuh dan menyambut baik dengan kewujudan kedua-dua dasar berkenaan. Norizan berkata, sebagai agensi kerajaan yang terbabit secara langsung dengan pengasuhan, pembangunan dan perkembangan kanak-kanak di negara ini, Kemas akan turut mengambil tindakan segera dan sewajarnya bagi memenuhi dasar yang sudah ditetapkan itu. Katanya, antara langkah yang bakal diambil ialah memastikan pengambilan pembantu pusat asuhan dan guru tadika dibuat dengan lebih berhati-hati dan teliti, bukan lagi sekadar hanya memenuhi syarat atau kelayakan ditetapkan sebelum ini.
“Apabila kanak-kanak diletakkan di taska dan tabika Kemas, adalah tanggungjawab kami sepenuhnya untuk memberikan pengawasan yang terbaik kepada mereka sepanjang berada di pusat jagaan itu. Kami juga sedar kes kecuaian terhadap kanak-kanak bukan saja dilakukan oleh ibu bapa tetapi juga individu yang diberikan tanggung jawab dan kepercayaan untuk mengasuh dan menjaga mereka. “Jika sebelum ini Kemas membuat pengambilan tenaga kerja berdasarkan syarat dan kelayakan semata-mata, tetapi kini mungkin lebih berhati-hati termasuk kemungkinan memeriksa latar belakang dan membuat pemeriksaan kesihatan. Ini kerana masalah penyakit mental misalnya, mungkin tidak dapat dikesan ketika sesi temu duga dibuat. Kami sedar, sekiranya tenaga kerja itu ada masalah kesihatan mental, ia tentu mendatangkan risiko terhadap keselamatan kanak-kanak di bawah jagaannya,” katanya. Pengarah Projek Childlina Malaysia, P H Wong, pula berkata kedua-dua dasar itu memang amat penting dan memang tepat pada masanya diperkenalkan, tambahan tahun ini adalah ulang tahun ke-20 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC). “Saya berharap semua pihak termasuk agensi kerajaan dan juga NGO aplikasi dasar berkenaan apatah lagi selama ini, banyak usaha dibuat bagi memastikan kanak-kanak di negara mendapat hak yang sewajarnya. Selain itu saya juga berharap, lebih banyak usaha lagi dibuat bagi meningkatkan kesedaran di kalangan keluarga dan juga masyarakat mengenai pentingnya kanak-kanak di negara ini menikmati kesejahteraan hidup dalam persekitaran yang selamat dan kondusif,” katanya.

Cetak artikel Hantar pada kawan

No comments:

Post a Comment