Monday, June 29, 2009

SPA TERAPUNG

Keunikan spa terapung
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
Avi Spa
SEBAGAI tempat penginapan eksklusif yang menjanjikan kunjungan istimewa dan mendamaikan, banyak hotel dan resort di pantai peranginan di negara ini berusaha menyediakan layanan terbaik untuk memanjakan tetamunya.
Salah satunya adalah kemudahan spa yang kini muncul hampir di setiap hotel dan resort terutama yang bertaraf lima bintang seperti apa yang ditawarkan di Avillion, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Keunikan spa yang dinamakan sebagai Avi Spa itu bukan sembarangan kerana dibina berkonsepkan spa terapung di atas laut dengan binaan bangunan dua tingkat seluas 650 meter persegi.
Menghadap keindahan Laut Selat Melaka yang terbentang luas, spa yang dilihat dari luar seolah-olah sebuah rumah kaca ini menyerlahkan aura keharmonian lewat suara desiran ombak yang menghempas pantai.
Avi Spa yang dimiliki sepenuhnya oleh Kumpulan Hotel Avillion itu juga unik dari segi struktur binaannya termasuk dekorasi yang berkonsepkan kontemporari Baba Nyonya dengan pelbagai fasiliti membangkitkan keharmonian antara alam dan manusia.
Selain itu, variasi rawatan spa dari hujung rambut hingga ke hujung kaki ditawarkan untuk menenangkan fikiran dan mengembalikan semangat para pelanggan terutama setelah seharian penat berkerja.
Bagi mereka yang hobinya merawat tubuh di spa mungkin akan merasai kelainan apabila melangkah ke sini.
Menurut Pengurus Spa, Ayuko Suzuki, selain menawarkan rawatan terbaik Avi Spa berusaha menjanjikan pengalaman hebat pada setiap kunjungan kepada pelanggannya.
"Kelainan Avi Spa ialah apabila pelanggan sudah mula merasai 'nikmat rawatannya' sebaik saja melangkah masuk ke sini. Terbahagi kepada tiga sudut iaitu Avi spa suites, Avi spa space dan Avi lounge, setiap ruangan mempunyai tarikan tersendiri.
"Namun ruang balkoni terbuka yang menghadap laut dengan pandangan mempesonakan di tingkat atas yang berbentuk seperti pulau kecil paling disukai tetamu. Ini kerana selepas mendapat rawatan mereka boleh bersantai di situ untuk menghirup udara nyaman," tambahnya.
Barangkali benar kata Suzuki, ruangan tersebut memang sesuai untuk dijadikan tempat bersantai terutama selepas mendapatkan rawatan apatah lagi apabila angin laut bertiup nyaman dan mata dihidangkan dengan pemandangan yang mempesonakan terutama ketika matahari hampir terbenam.
Tidak ketinggalan, Avi Lounge yang menyediakan menu yang sihat dan segar bagi setiap pelanggan seperti tea herba dan snek yang sedap.
Selain itu, Avi suite pula menempatkan tujuh kamar spa mewah termasuk dua kamar khas untuk pasangan yang dilengkapi dengan beranda terbuka dan tub mandian yang membolehkan pelanggan merawat badan sambil menikmati keindahan laut.
Dari segi terapi, terdapat lebih 26 rawatan yang ditawarkan di Avi Spa dan kebanyakannya menggunakan aroma signatur Avi iaitu berasaskan alam semula jadi.
Setiap rawatan yang disediakan juga berteraskan tiga konsep iaitu Avi Tradition, Avi Marine dan Avi Signatur. Avi Tradition misalannya adalah perawatan yang diinspirasikan daripada elemen Baba dan Nyonya yang diadun dengan konsep rawatan Melayu dan Cina tradisional.
Sementara, Avi Signatur pula disampaikan dengan salah satu daripada empat mood bersesuaian dengan menggunakan seratus peratus minyak tulen dan Avi Marine pula meliputi rawatan yang menggunakan bahan berasaskan laut.

No comments:

Post a Comment