Wednesday, July 8, 2009

LUAHAN TUN DR MAHATHIR

Saya sedih - Dr. Mahathir
PUTRAJAYA 8 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad sedih atas keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan di bawah pentadbiran beliau enam tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri menjelaskan langkah memansuhkan dasar itu tidak dirundingkan dengan beliau sebaliknya kerajaan telah membuat keputusan lebih awal.
''Kerajaan telah membuat keputusan, saya hanya diberikan taklimat dan maklumat tentang apa yang akan dilakukan oleh kerajaan.
''Saya ada mencadangkan supaya dasar itu dikekalkan bagi peringkat sekolah menengah tetapi itu pun ditolak, mereka tidak terima sama sekali, jadi itu bukan runding tapi hanya taklimat," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Beliau memberikan reaksi demikian terhadap keputusan kerajaan hari ini memansuhkan PPSMI berkuat kuasa pada 2012.
Dr. Mahathir berkata, pemansuhan PPSMI akan menyebabkan anak-anak menjadi mangsa apabila mereka tidak dapat mempelajari perkembangan ilmu Sains dan Matematik pada masa depan.
Beliau turut mempertikaikan alasan pemansuhan dasar tersebut bagi memperkukuhkan kedudukan bahasa kebangsaan kerana penggunaan semula bahasa Melayu dalam mata pelajaran Sains dan Matematik hanya melibatkan sekolah-sekolah kebangsaan.
Sedangkan, katanya, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) menggunakan bahasa ibunda masing-masing bagi mengajar kedua-dua subjek tersebut.
Mengenai masalah guru Sains dan Matematik yang tidak fasih berbahasa Inggeris, beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab melatih dan mengeluarkan guru-guru yang mampu berbahasa Inggeris.
''Kita perlu menghadapi masa yang susah, ini amat penting bagi masa depan anak cucu dan negara, maka kita harus menghadapi cabaran pada peringkat awal.
''Saya yakin guru-guru kita boleh mengajar dalam bahasa Inggeris," katanya.
Mengenai langkah kerajaan mahu melatih lebih ramai guru bahasa Inggeris, beliau menyifatkan perkara itu sesuatu yang baik.
''Kalau boleh melatih guru-guru bahasa Inggeris kenapa tidak boleh latih guru Sains dan Matematik, kita perlu belajar kerana ia amat penting bagi masa depan anak-anak kita," katanya.
Sebenarnya, kata beliau, dasar PPSMI tidak menjadi masalah kerana sebelum ini kerajaan pernah menukar pembelajaran berasaskan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.
''Pada masa itu tidak ada bantahan sedangkan ketika itu ramai guru tidak fasih berbahasa Melayu tetapi akhirnya mereka berjaya menguasai bahasa kebangsaan.
''Jadi, pada masa ini kalau kita guna bahasa campur-campur pun tak apa tetapi pada masa yang sama kita perbaiki prestasi guru," katanya.

No comments:

Post a Comment