Sunday, August 2, 2009

BULAN,KUCING,MANUSIA,BOM


Kucing, manusia, bulan dan bom
Oleh Zin Mahmud
Minggu lalu, keluarga Ranon di Bangi berasa sedih. Tetapi bukan saja mereka. Jirannya juga bersedih. Ini kerana kucing mereka, bernama Blossom meninggal dunia akibat dilanggar kereta.
Manakan tidak, Blossom, walaupun makan di kediamannya tetapi setiap malam tidur di rumah jirannya. Menjadi teman tidur. Maka tentunya apabila dia sudah tidak ada, jirannya berasa kehilangan.
Setelah dikebumikan, keluarga itu serta jirannya mengumpul gambar-gambar Blossom yang sempat dirakam melalui kamera telefon selama ini untuk diabadikan sebagai kenangan.
Kucing seperti haiwan peliharaan lainnya mampu mewujudkan perasaan hubungan kasih sayang dengan manusia. Seperti antara sesama manusia.
Dua minggu lalu, seorang anak muda, Firdaus yang tinggal menyewa bersama lapan rakannya di sebuah rumah teres di Serdang menerima SMS memintanya supaya mendoakan Dol agar sihat daripada sakitnya.
Dol adalah rakan serumahnya juga. Tetapi dia kucing. Di atas papan kenyataan rumah itu, Dol turut disenaraikan sebagai penyewa rumah tetapi ditandakan sebagai tidak pernah membayar sewa.
Setelah Dol sembuh, Firdaus bercadang untuk membuat profil bagi Dol dalam facebook. Kemudian dirancang untuk mempelawa kucing-kucing lain untuk menjadi kawan Dol.
Blossom dan Dol adalah antara nama kucing yang diberikan oleh manusia kepadanya. Macam-macam nama yang pernah diberikan kepada kucing. Seorang pensyarah Universiti Malaya umpamanya pernah menamakan kucingnya Leonardo di Caprio. Ada yang bernama Mango. Memang manusia bebas menamakan kucing mereka. Maklumlah tidak perlu daftar dan tidak ada kucing yang akan memarahi mereka.
Kucing penulis yang paling diingati bernama Apollo. Masa itu penulis darjah empat. Kucing itu pun masih budak-budak. Tahun 1969. Lebih tepat lagi 20 Julai 1969. Hari Rabu. Nasib baik, pada masa itu penulis bersekolah di sebelah petang. Maka berpeluanglah penulis mendengar siaran langsung peristiwa pendaratan pertama manusia di atas bulan.
Melalui Radio Malaysia setelah mendengar celoteh juruhebah mengenai Apollo 11, maka akhirnya dapat disiarkan
suara angkawasan Neil Armstrong yang mendarat di bulan. Dengan suara yang berpecah-pecah dipancar melalui Houston, Texas, Armstrong menyatakan bahawa satu jejak kecil baginya tetapi adalah lonjakan bagi manusia.
Ketika itu, anak kucing itu melompat ke atas radio. Maka penulis pun menamakannya Apollo.
Tetapi sepanjang hidup penulis, sudah banyak kali mengangkat bangkai kucing untuk dikebumikan. Ada yang mati kerana sakit, tua dan juga dilanggar kereta. Setiap kali kucing mati, maka akan terasa kesedihannya.
Bernasib baik
Kucing-kucing itu semua bernasib baik mempunyai sahabat dari kalangan manusia yang memberikan mereka kasih sayang. Begitu juga dengan haiwan peliharaan lain seperti anjing dan iguana.
Bagi mereka yang tidak bernasib baik, haiwan-haiwan ini menanggung derita diseksa oleh manusia.
Begitu juga manusia bernasib baik apabila mereka hidup dipenuhi kasih sayang. Bagi mereka yang tidak bernasib baik, habis umurnya menanggung penderitaan kerana tidak disukai manusia
Jadi bukan dikira sama ada sasaran kasih sayang itu adalah haiwan atau manusia. Terhadap manusia pun, mereka boleh memberikan kebencian hingga tidak berasa apa-apa untuk melakukan pembunuhan.
Bukan saja membunuh orang yang tidak bersalah tetapi juga menghancurkan diri sendiri. Itulah apa yang berlaku di Jakarta Khamis lalu. Seperti tiga tahun lalu, pengebom-pengebom itu membunuh diri dan orang sekeliling tanpa belas kasihan.
Begitulah otak manusia. Mereka mampu membuat perkara-perkara yang bertentangan di antara satu sama lain. Ada manusia boleh memberikan kasih sayang kepada haiwan yang boleh dilayan seperti manusia juga.
Tidak kurang pula yang sanggup menghancurkan manusia yang lain, termasuk dirinya atas apa yang terdorong dalam otaknya. Kalaulah dengan diri sendiri pun, mereka sanggup memusnahkan, maka apatah lagi dengan makhluk lain, manusia dan haiwan.
Otak kucing mungkin lebih ringkas dan difahami. Mereka cuma mahu hidup dan membiak. Maka apabila didapati manusia menyayangi mereka, itu mudah bagi mereka untuk membalasnya.
Tetapi otak manusia begitu rumit dan kompleks. Di satu ketika, mereka boleh merancang hingga mampu menjejak kaki ke bulan, tetapi pada waktu lain, boleh merancang untuk membuat bom, meletupkan dan membunuh sesama manusia.
Ketika yang sama banyak pula aktivis yang bergiat menyelamatkan haiwan-haiwan daripada kepupusan. Dengan dana yang besar dan pelbagai usaha yang rumit mereka berusaha menyelamatkan penyu, beruang, jerung dan segala macam haiwan.
Apakah yang mendorong aktivis ini untuk berkorban tenaga dan benda bagi menyelamatkan haiwan? Otak manusia ini juga kompleks.
Namun begitu, apa yang dapat dilihat kebanyakan aktivis pencinta haiwan ini datangnya daripada negara-negara maju. Sementara pengganas yang cenderong untuk membunuh dirinya dan sesama manusia datangnya dari negara-negara mundur.
Maka tidakkah terdapat tanda-tanda bahawa nilai kemanusiaan itu datangnya daripada sikap yang turut menyayangi haiwan. Sementara apa yang boleh disifatkan sebagai tindakan kebinatangan, ia merujuk kepada manusia yang zalim kepada sesama manusia.

No comments:

Post a Comment