Wednesday, August 5, 2009

JANA TENAGA ELEKTRIK

Guna nuklear jana elektrik efisien, selamat

KENYATAAN Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini mengenai hasrat negara membangunkan reaktor nuklearnya sendiri adalah sesuatu yang patut dialu-alukan rakyat demi memastikan negara terus mempunyai bekalan tenaga elektrik yang mencukupi. Lawatan beliau ke Korea Selatan pada penghujung Mei lalu mungkin `membuka mata` sehinggakan Perdana Menteri meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili mengunjungi negara itu bagi meninjau teknologi nuklearnya. Kesungguhan kerajaan juga boleh dilihat menerusi penyediaan kertas Kabinet mengenai cadangan menjadikan nuklear sebagai sumber tenaga alternatif, yang sedang diperhalusi sebelum dijadualkan untuk pembentangan bulan ini.
Sebenarnya, isu mengenai tenaga nuklear sudah lama diperkatakan dan gesaan demi gesaan dibuat agar negara segera mengambil langkah melaksanakannya sebelum negara kehabisan sumber tenaga. Tetapi, ia masih belum dapat dilaksanakan berikutan banyak kritikan daripada pelbagai pihak, yang gagal melihat senario ini secara menyeluruh. Hakikatnya, kita memerlukan tenaga untuk hampir semua perkara dalam kehidupan harian. Pendek kata, gangguan bekalan elektrik di kediaman, pejabat, pusat beli-belah dan kilang mengundang masalah jika tidak diatasi segera. Jika kita mahu terus dijamin kemudahan bekalan elektrik sempurna, sudah tiba masanya kita bersikap terbuka dengan menerima cadangan membangunkan teknologi nuklear boleh mem-berikan banyak manfaat kepada negara dan rakyat.
Dengan krisis ekonomi yang melanda dunia kini, adalah wajar bagi Malaysia untuk beralih kepada nuklear yang sememangnya diketahui lebih murah berbanding penggantungan kepada arang batu untuk penjanaan elektrik kerana bekalan bahan itu adalah tidak menentu dalam jangka panjang selain harganya yang sentiasa meningkat. Statistik menunjukkan Malaysia amat bergantung kepada gas asli bagi penjanaan elektrik iaitu sebanyak 64 peratus pada 2008 berbanding arang batu (28 peratus), hidro (8 peratus), diesel (0.1 peratus). Krisis tenaga pasti akan berterusan jika kita terus bergantung kepada arang batu, yang terpaksa kita import dari negara jiran dan Australia. Justeru, nuklear perlu dibangunkan sebagai sumber penjanaan tenaga baru di Malaysia dalam usaha memajukan lagi sektor perindustrian negara. Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk serius mengambil langkah dengan beralih kepada teknologi nuklear sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih murah, bersih dan berpanjangan. Kita perlu ingat bahawa negara tidak mempunyai banyak pilihan memandangkan sumber asli seperti minyak dan gas semakin berkurangan. Saya sedar, ramai yang gusar apabila diajukan isu nuklear kerana bimbang berlakunya insiden di negara ini seperti kemalangan reaktor nuklear di Three Mile Island, Amerika Syarikat dan Chernobyl, Ukraine.
Sebenarnya, kejadian di Three Mile Island pada 1979 tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan serta kecacatan kepada pekerja mahu pun penduduk berdekatan, manakala kemalangan di Chernobyl, Ukraine, ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet, mengakibatkan 47 kematian selepas terdedah kepada radiasi. Akibat kejadian itu, banyak negara mengambil langkah keselamatan dan bersama-sama memastikan dapat menjana tenaga nuklear lebih murah, bersih dan selamat. Selain itu, kecanggihan teknologi juga membuatkan penjanaan tenaga nuklear kini menjadi lebih efisien dan selamat. Oleh itu, sokonglah hasrat kerajaan membangunkan teknologi kuasa nuklear di negara ini. Bantuan kepakaran dari negara maju dari segi penggunaan tenaga berkenaan adalah sesuatu yang tidak harus ditolak begitu saja. Ini adalah masa yang amat sesuai bagi negara kita melangkah setapak lagi ke arah merealisasi hasrat menjadikan sumber tenaga nuklear sebagai satu lagi bahan alternatif bagi penjanaan tenaga elektrik. MOHD SUBKY SHARIF, Bandar Sri Damansara, Selangor.
innity_pub = "c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5";
innity_cat = "NEWS";
innity_zone = "3309";
innity_width = "**";
innity_height = "**";
Cetak artikel Hantar pada kawan
Iklan Teks

No comments:

Post a Comment