Monday, August 31, 2009

AGUNGNYA SYARIAT ALLAH

Tazkirah Remaja: Betapa agung syariat Allah haram babiBersama Mohd Zawawi Yusoh
MEMANG terkejut melihat dalam Youtube mengenai satu ujian yang sangat mudah iaitu dengan mengambil dua potongan daging babi dan diletakkan dalam bekas besi, kemudian dicurahkan air minuman berkarbonat ke atas daging babi itu.Selepas dibiarkan dua jam, kelihatan begitu banyak sekali ulat kecil merayap keluar dari daging babi itu.
Terkejut sangat tengok itu kerana dua perkara; pertama dahsyatnya dan jijiknya daging itu. Kedua, bangga menjadi Muslim betapa agungnya syariat Allah yang mengharamkan makan daging babi dan betapa al-Quran memang kitab petunjuk dari langit dan segala terkandung di dalamnya yang berbentuk suruhan wajib ikut dan terlarang mesti dihindari.Kalau nak tengok dengan jelas lagi cuba semak ayat al-Quran iaitu pada surah al-Maaidah, ayat 3 yang bermaksud: "Diharamkan bagimu memakan bangkai, darah, daging babi dan daging haiwan yang disembelih bukan atas nama Allah..."Semak lagi surah al-Ana'am ayat 145, yang bermaksud: "Katakanlah tidak ku dapati di dalam apa yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan memakannya bagi yang ingin memakannya kecuali daging haiwan yang mati (bangkai), darah yang mengalir, daging babi."Pengharaman babi dalam al-Quran sepatutnya dikaitkan dengan wabak dahsyat yang sedang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia iaitu H1N1 yang sudah meragut berpuluh nyawa. Subhanallah, Maha Suci Allah yang mengetahui keburukan apa yang dicipta-Nya. Jika Allah kata tak boleh, rupanya sangat bahaya sama ada pada daging babi itu ataupun akibat daripada jangkitan babi itu sendiri.Hasil kajian barat, babi membawa virus dan sejenis kuman yang tidak mati 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh membawa 70 jenis penyakit. Dalam menghadapi situasi ini kita bertanya mana kehebatan negara kuasa besar dunia yang tersohor dengan kecanggihan teknolgi dan peralatannya serta kalangan saintis? Mereka sedang mengkaji, tetapi jangan lupa kemarahan Allah terhadap mereka yang melupai peringatan-Nya. Amat menakutkan akibat dari babi ini, H1N1 berjangkit tanpa henti dengan begitu pantas, hanya bermediumkan udara yang boleh disedut di mana-mana - di pusat beli-belah, tempat letak kereta, kedai kopi, stadium dan perhimpunan. Ia tidak begitu terasa, tetapi sedar tak sedar, ia bergerak begitu pantas. Anda juga tidak berasa takut dan gerun selagi tiada orang terdekat anda yang terkena, sekurang-kurangnya kena kuarantin.Kedahsyatan penyakit H1N1 yang kita sedang hadapi ini baru sebahagian kecil serangan bahaya babi yang Allah kata. Bahaya ini tak masuk lagi pengharaman lain yang lama dilaknat Allah, tetapi masih berleluasa dalam masyarakat kita dilakukan bukan sahaja secara sembunyi lagi, sebaliknya sudah berbangga sambil menunjuk-nunjuk seperti persundalan.Yang paling menakutkan kita masih 'pekak' dengan kemurkaan Allah. Biasanya apabila dah reda sedikit sesuatu wabak atau bala kita akan lupa semula Allah. Lupa apa yang Allah larang, balik asal buat ingkar. Apabila kena bala baru semua sepakat berdoa Allah, mula rajin solat tetapi apabila sudah sihat lupa lagi Allah. Begitulah kedegilan sebahagian kita."Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya."Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran. Begitu cepat ia merebak. Jangan lupa gunakan kuasa doa sama ada doa biasa ataupun doa dengan qunut 'naazilah'".Manusia yang ada di sekeliling kita mahupun udara yang ada, semua dengan izin Allah semata-mata.
Emel Artikel Cetak Artikel

Monday, August 10, 2009

KARKATAU....O..KARKATAU

Krakatau kembali hantui penduduk
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
Saintis berjaya merakamkan gunung berapi kembali 'hidup' selepas 126 tahun tidur LEBIH seabad menyepi selepas meluahkan lahar yang memakan ribuan korban, gunung berapi Krakatau kini kembali mempamerkan isyarat membimbangkan penduduk berhampiran dan saintis yang mengagak letusannya kali ini mungkin lebih dahsyat. Dengan ketinggian 356.76 meter dari aras laut Selat Sunda, gunung berapi paling menggerunkan itu sedia menggegarkan muka bumi ini sekali lagi. Kali terakhir ia memuntahkan lahar pada 1883 yang menyaksikan lebih 36,000 orang terkorban, sekali gus mengubah cuaca dan suhu global selama lima tahun selepas itu.
Letusan amat dahsyat dan bencana yang ditinggalkan begitu mengerikan dan tidak mampu ditandingi kerosakan dilakukan gunung berapi zaman moden, malah letusan menakjubkan Gunung St Helen di Amerika Syarikat pada 1980 masih terlalu kecil dibandingkan dengan amukan Krakatau. Hampir 126 tahun sehingga baru-baru ini sejak Krakatau pertama kali menunjukkan tanda-tanda ia aktif semula, gambar menakjubkan berjaya dirakamkan membuktikan saki baki gunung berapi yang satu ketika dulu tersergam lebih gagah berbanding sekarang mula menggelegak dan lavanya melimpah ruah. Kini, selepas hampir seabad setengah berlalu, ramai mula tertanya-tanya adakah penduduk dunia bakal berdepan dengan kuasa menakutkan Krakatau sekali lagi. Apatah lagi ia megah menunjukkan isyaratnya - lahar jingga terang disembur ke udara, asap hitam tebal bercampur dengan awam dan kesuraman malam digugat dengan sinaran merah.
“Ramalan gunung berapi semakin baik tetapi kita tidak mampu meramal sepenuhnya letusan yang besar dan luar biasa kerana ia memang luar biasa,” kata Pengerusi Sains Bumi di Universiti Durham, Profesor Jon Davidson, juga pakar gunung berapi yang mengkaji amukan terdahulu Krakatau. Rekod rasmi menunjukkan ketika kejadian pada 1883 itu, bersama-sama tsunami setinggi 36 meter yang dicetuskan, memusnahkan 165 kampung dan pekan, merosakkan dengan teruk 132 kampung lagi dan meragut 36,417 nyawa. Selepas 150 tahun kemudian, wilayah yang menjadi lokasi Krakatau antara Pulau Jawa dan Sumatera di Indonesia semakin padat, dengan petani ditarik ke kawasan itu kerana tanahnya yang subur. Tidak sukar membayangkan beratus ribu bakal menemui ajal jika satu lagi letusan kuat berlaku. Namun, wujud keraguan jika Krakatau meletus sekali lagi dengan kekuatan sama, impaknya akan jauh lebih dahsyat berbanding yang disaksikan pada abad ke-19.
“Gunung berapi mengulangi letusan seperti pada 1883 banyak kali. Pandangan biasa ialah Krakatau akan sekali lagi menjadi amat bahaya apabila mencecah saiz seperti pada 1883. Namun kini ia dua kali lebih kecil,” kata Marco Fulle, saintis dan pakar kaji bintang dan pakar gunung berapi kelahiran Itali yang merakamkan gambar itu. Bagaimanapun, tiada jaminan dapat diberi sama ada satu lagi letusan tidak akan berlaku pada masa terdekat. Dalam kejadian pada 1883, kapal Jerman, the Elizabeth, melaporkan melihat debu dan asap menyelubungi pulau Krakatau pada ketinggian lebih 11,000 meter ke udara pada pagi 20 Mei. Menyusul beberapa bulan selepas itu, hanya ada asap, bunyi bising dan semburan debu. Masalah itu tidak mendorong penduduk tempatan meninggalkan kawasan berkenaan, sebaliknya pertunjukan bunga api semula jadi itu menjadi tarikan. Semua itu berubah serta merta selepas tengah hari 26 Ogos apabila kejadian pertama siri letusan besar menyemburkan serpihan abu panas sehingga 35,000 meter ke udara dan kemudian pada jam 5.30 pagi keesokan hari, empat letusan besar menenggelamkan dua pertiga daripada kepulauan itu. “Ia adalah keberkesanan campuran magma dan air laut yang menjadikan letusan itu amat berkuasa. Air dapat memasuki ruang magma dan hasilnya, kepulauan itu musnah sama sekali,” kata Profesor Davidson. Pada asalnya setinggi 816 meter, Krakatau tenggelam sedalam 249 meter ke dalam laut. Seorang mangsa yang terselamat menceritakan saat tsunami melanda pada pagi itu. “Kami melihat satu benda hitam yang besar datang ke arah kami. Ia amat tinggi dan tidak lama kemudian kami menyedari ia air laut. Pokok dan rumah dihanyutkan. Kami berlari menuju ke satu tempat. Keadaan amat kelam kabut dan seorang demi seorang dihanyutkan air,” katanya. Beberapa tahun selepas itu, persekitaran Krakatau senyap sunyi. Bagaimanapun, pada 1927, wap dan batu dilihat menggelegak di dalam air dan tidak lama kemudian Anak Krakatau muncul dari dalam laut. Pada November 2007, gunung berapi itu mula menunjukkan tanda mahu menunjukkan kuasa sekali lagi tetapi penduduk berasa mereka sudah selamat apabila ia tiba-tiba senyap tahun lalu. Bagaimanapun, pada musim bunga tahun ini, Anak Krakatau menggegar semula. Letusan cukup menakutkan hingga menyebabkan berlaku ribut petir. Namun bagi sebahagian yang lain seperti Prof Davidson masih curiga satu lagi letusan besar akan berlaku tidak lama lagi. “Tidak terdapat cukup magma. Daripada melakukan ramalan seperti ini, saintis lebih bertanggungjawab melakukan apa yang terdaya untuk meminimumkan risiko penduduk yang tinggal berhampiran. Kami semakin baik dalam perkara itu,” katanya. Menjadikan peristiwa pada 1883 sebagai iktibar, penduduk di Selat Sunda cuma boleh berharap dan berdoa semoga kali ini saintis betul kerana ketentuan Allah tidak boleh diduga. Info
Krakatau memiliki kuasa letupan 13,000 kali lebih kuat daripada bom atom yang memusnahkan Hiroshima ketika Perang Dunia Kedua.
Purata suhu global berikutan letusan itu jatuh sebanyak 1.2 darjah Celsius
Lebih 90 peratus mangsa Krakatau maut akibat tsunami
Letupan dapat didengar sehingga 3,040 kilometer ke Perth dan 7,200 kilometer ke Sri Lanka
.

Wednesday, August 5, 2009

JANA TENAGA ELEKTRIK

Guna nuklear jana elektrik efisien, selamat

KENYATAAN Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak baru-baru ini mengenai hasrat negara membangunkan reaktor nuklearnya sendiri adalah sesuatu yang patut dialu-alukan rakyat demi memastikan negara terus mempunyai bekalan tenaga elektrik yang mencukupi. Lawatan beliau ke Korea Selatan pada penghujung Mei lalu mungkin `membuka mata` sehinggakan Perdana Menteri meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili mengunjungi negara itu bagi meninjau teknologi nuklearnya. Kesungguhan kerajaan juga boleh dilihat menerusi penyediaan kertas Kabinet mengenai cadangan menjadikan nuklear sebagai sumber tenaga alternatif, yang sedang diperhalusi sebelum dijadualkan untuk pembentangan bulan ini.
Sebenarnya, isu mengenai tenaga nuklear sudah lama diperkatakan dan gesaan demi gesaan dibuat agar negara segera mengambil langkah melaksanakannya sebelum negara kehabisan sumber tenaga. Tetapi, ia masih belum dapat dilaksanakan berikutan banyak kritikan daripada pelbagai pihak, yang gagal melihat senario ini secara menyeluruh. Hakikatnya, kita memerlukan tenaga untuk hampir semua perkara dalam kehidupan harian. Pendek kata, gangguan bekalan elektrik di kediaman, pejabat, pusat beli-belah dan kilang mengundang masalah jika tidak diatasi segera. Jika kita mahu terus dijamin kemudahan bekalan elektrik sempurna, sudah tiba masanya kita bersikap terbuka dengan menerima cadangan membangunkan teknologi nuklear boleh mem-berikan banyak manfaat kepada negara dan rakyat.
Dengan krisis ekonomi yang melanda dunia kini, adalah wajar bagi Malaysia untuk beralih kepada nuklear yang sememangnya diketahui lebih murah berbanding penggantungan kepada arang batu untuk penjanaan elektrik kerana bekalan bahan itu adalah tidak menentu dalam jangka panjang selain harganya yang sentiasa meningkat. Statistik menunjukkan Malaysia amat bergantung kepada gas asli bagi penjanaan elektrik iaitu sebanyak 64 peratus pada 2008 berbanding arang batu (28 peratus), hidro (8 peratus), diesel (0.1 peratus). Krisis tenaga pasti akan berterusan jika kita terus bergantung kepada arang batu, yang terpaksa kita import dari negara jiran dan Australia. Justeru, nuklear perlu dibangunkan sebagai sumber penjanaan tenaga baru di Malaysia dalam usaha memajukan lagi sektor perindustrian negara. Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk serius mengambil langkah dengan beralih kepada teknologi nuklear sebagai sumber tenaga alternatif yang lebih murah, bersih dan berpanjangan. Kita perlu ingat bahawa negara tidak mempunyai banyak pilihan memandangkan sumber asli seperti minyak dan gas semakin berkurangan. Saya sedar, ramai yang gusar apabila diajukan isu nuklear kerana bimbang berlakunya insiden di negara ini seperti kemalangan reaktor nuklear di Three Mile Island, Amerika Syarikat dan Chernobyl, Ukraine.
Sebenarnya, kejadian di Three Mile Island pada 1979 tidak mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan serta kecacatan kepada pekerja mahu pun penduduk berdekatan, manakala kemalangan di Chernobyl, Ukraine, ketika itu sebahagian daripada Kesatuan Soviet, mengakibatkan 47 kematian selepas terdedah kepada radiasi. Akibat kejadian itu, banyak negara mengambil langkah keselamatan dan bersama-sama memastikan dapat menjana tenaga nuklear lebih murah, bersih dan selamat. Selain itu, kecanggihan teknologi juga membuatkan penjanaan tenaga nuklear kini menjadi lebih efisien dan selamat. Oleh itu, sokonglah hasrat kerajaan membangunkan teknologi kuasa nuklear di negara ini. Bantuan kepakaran dari negara maju dari segi penggunaan tenaga berkenaan adalah sesuatu yang tidak harus ditolak begitu saja. Ini adalah masa yang amat sesuai bagi negara kita melangkah setapak lagi ke arah merealisasi hasrat menjadikan sumber tenaga nuklear sebagai satu lagi bahan alternatif bagi penjanaan tenaga elektrik. MOHD SUBKY SHARIF, Bandar Sri Damansara, Selangor.
innity_pub = "c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5";
innity_cat = "NEWS";
innity_zone = "3309";
innity_width = "**";
innity_height = "**";
Cetak artikel Hantar pada kawan
Iklan Teks

Sunday, August 2, 2009

BULAN,KUCING,MANUSIA,BOM


Kucing, manusia, bulan dan bom
Oleh Zin Mahmud
Minggu lalu, keluarga Ranon di Bangi berasa sedih. Tetapi bukan saja mereka. Jirannya juga bersedih. Ini kerana kucing mereka, bernama Blossom meninggal dunia akibat dilanggar kereta.
Manakan tidak, Blossom, walaupun makan di kediamannya tetapi setiap malam tidur di rumah jirannya. Menjadi teman tidur. Maka tentunya apabila dia sudah tidak ada, jirannya berasa kehilangan.
Setelah dikebumikan, keluarga itu serta jirannya mengumpul gambar-gambar Blossom yang sempat dirakam melalui kamera telefon selama ini untuk diabadikan sebagai kenangan.
Kucing seperti haiwan peliharaan lainnya mampu mewujudkan perasaan hubungan kasih sayang dengan manusia. Seperti antara sesama manusia.
Dua minggu lalu, seorang anak muda, Firdaus yang tinggal menyewa bersama lapan rakannya di sebuah rumah teres di Serdang menerima SMS memintanya supaya mendoakan Dol agar sihat daripada sakitnya.
Dol adalah rakan serumahnya juga. Tetapi dia kucing. Di atas papan kenyataan rumah itu, Dol turut disenaraikan sebagai penyewa rumah tetapi ditandakan sebagai tidak pernah membayar sewa.
Setelah Dol sembuh, Firdaus bercadang untuk membuat profil bagi Dol dalam facebook. Kemudian dirancang untuk mempelawa kucing-kucing lain untuk menjadi kawan Dol.
Blossom dan Dol adalah antara nama kucing yang diberikan oleh manusia kepadanya. Macam-macam nama yang pernah diberikan kepada kucing. Seorang pensyarah Universiti Malaya umpamanya pernah menamakan kucingnya Leonardo di Caprio. Ada yang bernama Mango. Memang manusia bebas menamakan kucing mereka. Maklumlah tidak perlu daftar dan tidak ada kucing yang akan memarahi mereka.
Kucing penulis yang paling diingati bernama Apollo. Masa itu penulis darjah empat. Kucing itu pun masih budak-budak. Tahun 1969. Lebih tepat lagi 20 Julai 1969. Hari Rabu. Nasib baik, pada masa itu penulis bersekolah di sebelah petang. Maka berpeluanglah penulis mendengar siaran langsung peristiwa pendaratan pertama manusia di atas bulan.
Melalui Radio Malaysia setelah mendengar celoteh juruhebah mengenai Apollo 11, maka akhirnya dapat disiarkan
suara angkawasan Neil Armstrong yang mendarat di bulan. Dengan suara yang berpecah-pecah dipancar melalui Houston, Texas, Armstrong menyatakan bahawa satu jejak kecil baginya tetapi adalah lonjakan bagi manusia.
Ketika itu, anak kucing itu melompat ke atas radio. Maka penulis pun menamakannya Apollo.
Tetapi sepanjang hidup penulis, sudah banyak kali mengangkat bangkai kucing untuk dikebumikan. Ada yang mati kerana sakit, tua dan juga dilanggar kereta. Setiap kali kucing mati, maka akan terasa kesedihannya.
Bernasib baik
Kucing-kucing itu semua bernasib baik mempunyai sahabat dari kalangan manusia yang memberikan mereka kasih sayang. Begitu juga dengan haiwan peliharaan lain seperti anjing dan iguana.
Bagi mereka yang tidak bernasib baik, haiwan-haiwan ini menanggung derita diseksa oleh manusia.
Begitu juga manusia bernasib baik apabila mereka hidup dipenuhi kasih sayang. Bagi mereka yang tidak bernasib baik, habis umurnya menanggung penderitaan kerana tidak disukai manusia
Jadi bukan dikira sama ada sasaran kasih sayang itu adalah haiwan atau manusia. Terhadap manusia pun, mereka boleh memberikan kebencian hingga tidak berasa apa-apa untuk melakukan pembunuhan.
Bukan saja membunuh orang yang tidak bersalah tetapi juga menghancurkan diri sendiri. Itulah apa yang berlaku di Jakarta Khamis lalu. Seperti tiga tahun lalu, pengebom-pengebom itu membunuh diri dan orang sekeliling tanpa belas kasihan.
Begitulah otak manusia. Mereka mampu membuat perkara-perkara yang bertentangan di antara satu sama lain. Ada manusia boleh memberikan kasih sayang kepada haiwan yang boleh dilayan seperti manusia juga.
Tidak kurang pula yang sanggup menghancurkan manusia yang lain, termasuk dirinya atas apa yang terdorong dalam otaknya. Kalaulah dengan diri sendiri pun, mereka sanggup memusnahkan, maka apatah lagi dengan makhluk lain, manusia dan haiwan.
Otak kucing mungkin lebih ringkas dan difahami. Mereka cuma mahu hidup dan membiak. Maka apabila didapati manusia menyayangi mereka, itu mudah bagi mereka untuk membalasnya.
Tetapi otak manusia begitu rumit dan kompleks. Di satu ketika, mereka boleh merancang hingga mampu menjejak kaki ke bulan, tetapi pada waktu lain, boleh merancang untuk membuat bom, meletupkan dan membunuh sesama manusia.
Ketika yang sama banyak pula aktivis yang bergiat menyelamatkan haiwan-haiwan daripada kepupusan. Dengan dana yang besar dan pelbagai usaha yang rumit mereka berusaha menyelamatkan penyu, beruang, jerung dan segala macam haiwan.
Apakah yang mendorong aktivis ini untuk berkorban tenaga dan benda bagi menyelamatkan haiwan? Otak manusia ini juga kompleks.
Namun begitu, apa yang dapat dilihat kebanyakan aktivis pencinta haiwan ini datangnya daripada negara-negara maju. Sementara pengganas yang cenderong untuk membunuh dirinya dan sesama manusia datangnya dari negara-negara mundur.
Maka tidakkah terdapat tanda-tanda bahawa nilai kemanusiaan itu datangnya daripada sikap yang turut menyayangi haiwan. Sementara apa yang boleh disifatkan sebagai tindakan kebinatangan, ia merujuk kepada manusia yang zalim kepada sesama manusia.

Tuesday, July 21, 2009

GERHANA....ooo..GERHANA

Gerhana paling lama
Oleh RAMLI ABDUL SAMAD
PEMINAT astronomi pastinya gembira menyaksikan fenomena luar biasa gerhana mata hari yang berlaku hari ini.
Fenomena sekali dalam tempoh beratus-ratus tahun ini bagaimanapun hanya dinikmati oleh sebahagian penduduk dunia sahaja. Gerhana berkenaan hanya melintasi rantau India dan China sahaja.
Ia berbeza dengan gerhana matahari biasa seperti yang berlaku pada 26 Januari lalu. Ketika itu ia dapat dilihat oleh rakyat negara ini walaupun ia lebih jelas di selatan Sarawak yang terasa jalur gerhana tersebut.
Bagaimanapun sebahagian besar kawasan negara ini berada dalam keadaan gelap pada sebelah petang. Lebih 80 peratus permukaan matahari tidak dapat dilihat di Semenanjung sementara di Sabah dan Sarawak, kegelapan adalah 95 peratus.
Gerhana jenis ini digelar gerhana tahunan. Ia berlaku dalam jarak waktu yang pendek, seperti selang satu atau dua tahun, akan muncul gerhana jenis ini.
Apa yang akan berlaku pada pertengahan pagi ini ialah terjadinya gerhana yang agak lama berbanding dengan yang berlaku pada setiap tahun. Gerhana matahari bermakna situasi bulan berada di antara bumi dan matahari. Ketika itu bumi tidak dapat menerima sinarannya kerana saat itu bulan menghalang sinaran matahari sampai ke bumi. Gerhana akan berlaku apabila bayang matahari kelihatan selama 6 minit 39 saat mengikut kiraan ahli astronomi.
Gerhana matahari akan kelihatan saat fajar menyingsing di Teluk Khambhat, utara Mumbai, India. Kemudian bayangan gerhana akan bergerak ke arah timur menyeberangi kawasan India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan, dan China sebelum berakhir di Samudra Pasifik.
Gerhana ini juga akan melintasi beberapa pulau di wilayah selatan Jepun dan terlihat terakhir kali dari Pulau Nikumaroro yang terletak di Pasifik Selatan. Salah satu daerah yang paling baik untuk menyaksikan peristiwa ini adalah seluruh kota Shanghai dan pulau-pulau di bahagian selatan Jepun yang akan tertutup oleh kegelapan pada siang hari.
Sebelum ini gerhana total matahari pernah terjadi pada bulan Ogos 2008 tetapi tempohnya adalah selama 2 minit dan 27 saat.
Satu lagi peristiwa gerhana penuh di Malaysia akan berlaku pada 20 April 2042 dan hanya Sarawak dan tidak Malaysia Barat akan dapat melihatnya. Kemudian kita kena tunggu 40 tahun lagi selepas tahun 2042 untuk melihat gerhana penuh persisnya pada 24 Ogos 2082.
Itu sebabnya orang mengatakan hanya sekali dalam hayat hidup seseorang itu boleh melihat fenomema gerhana matahari total. Tetapi bagi gerhana total yang begitu lama seperti yang terjadi hari ini, akan berulang semula dalam tempoh beratus tahun lagi sebelum terjadi lintasan bulan antara bumi dan matahari.
Ramai peminat mencari tempat khas bagi menyaksikan fenomena alam semesta unik ini. Bagi para ilmuwan pula mereka akan mengesan data daripada gerhana matahari ini sebagai acuan untuk membantu menjelaskan apa-apa saja struktur dari matahari dan mengapa timbul ledakan di permukaannya. Para ahli astronomi berharap gerhana dapat menyingkap sejumlah petunjuk tentang matahari.
Sayang, kali ini gerhana matahari penuh dan lama ini tidak dapat dilihat sepenuhnya di Malaysia kerana sebahagian saja piringan matahari yang tertutup dek bayangan bulan.
Cuma 45 peratus akan diliputi pada pertengahan pagi. Jutaan rakyat India, China dan Hawaii akan bernasib baik menikmati jalur gerhana sepenuhnya yang berlaku pada abad ke-21 ini.

Sunday, July 19, 2009

KEMBARA AGUNG KE LANGIT

Iktibar kembara agung ke langit
Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
WALAUPUN setelah 40 tahun angkasawan Niel Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, rahsia langit luas masih kekal rahsia. Ia masih belum dapat dijangkau oleh akal manusia.
Malah manusia juga masih tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu, wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai rahsia alam ini.
Sebagai contoh, peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit. Ia menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT sememangnya "Maha Berkuasa". Allah menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidilharam di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitulmaqdis di Palestin.
Baginda kemudiannya dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu zat Allah SWT. Semua perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.
Peristiwa menakjubkan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra', Ayat 1).
Sehubungan itu, umat Islam diminta agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara peringatan tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak sahaja tanpa berusaha untuk mengambil pelajaran daripada peristiwa itu.
Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Antaranya ialah:
*Beriman dengan perkara ghaib
Peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab menjadi murtad. Ini kerana mereka tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW mengenai perjalanannya itu.
Apa tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan - Mekah ke Madinah ke Palestin - hanya dilakukan oleh Baginda dalam tempoh satu malam sahaja.
Namun perkara itu tidak boleh hanya disandarkan kepada logik akal semata-mata kerana peristiwa itu adalah benar dan telah ditempuhi sendiri oleh Rasullah SAW.
Maka, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.
Contohnya, oksigen yang dihela oleh manusia setiap masa. Ia wujud walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Malah kewujudan oksigen dibuktikan secara saintifik dan ternyata sangat penting kepada manusia sebagai unsur utama untuk meneruskan hidup.
*Perintah wajib mengerjakan sembahyang
Ibadah sembahyang yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj itu merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasikan daripada perlakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT.
Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini. Dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan atau bantahan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.
Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab di Hari Kemudian. Pelbagai hukuman disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Ia sebenarnya cukup untuk menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikan segala suruhan-Nya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah itu sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.
*Wajib percaya dengan Hari Kiamat
Perlu difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara. Semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tidak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan
Mikraj, dunia kini diambang kehancuran.
Oleh itu, setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.
Individu Muslim disaran agar meletakkan diri sebagai seorang pengembara yang dalam perjalanan bertemu Allah SWT. Sebagai pengembara kita perlu membawa pelbagai bekalan. Amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan semasa di dunia merupakan bekalan kita ketika menuju ke akhirat bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju itu.
Selain itu, persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.
*Wajib percaya dengan azab Tuhan
Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj tersebut. Antaranya akibat perbuatan zina, makan riba, ingkar menunaikan solat dan kewajipan berzakat, berdusta serta pecah amanah. Ia membuktikan betapa Allah SWT berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.
Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.
Di sudut lain, gambaran kurniaan Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berdepan dengan godaan syaitan iaitu musuh utama kita.
*Wajib percaya dengan qada dan qadar
Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah.
Nabi Muhammad SAW juga tidak lekang dengan pelbagai ujian. Ini kerana Baginda juga merupakan manusia biasa.
Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan dua individu penting dalam karier dakwahnya iaitu isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.
Tetapi Baginda tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga diberi ganjaran dengan dipertemukan dengan zat Allah pada malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan.
Maka selayaknya umat Islam mencontohi Nabi dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba hamba-Nya.
Terdapat pelbagai lagi iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh diperolehi oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan pelbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa berkenaan.
Marilah kita mensyukuri segala nikmat itu dengan mempertingkatkan amal ibadat dan kebaikan demi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Thursday, July 9, 2009

BERKAWANLAH DENGAN PENJUAL MINYAK WANGI

KAWAN mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.
Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit. Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan? Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati? Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta. Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri. Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri. "Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat. "Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy'ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk." Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga. Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.
Emel Artikel Cetak Artikel